KUCHING: Tukun tiruan yang diturun sepanjang 1,000 kilometer (km) perairan pesisir dari Tanjong Datu merupakan kawasan projek terpanjang di dunia.
Sebanyak 16,800 tukun tiruan
jenis Reefball itu diturun sehingga ke Lawas sekali gus mencatatkan rekod sebagai kawasan terpanjang itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan adanya projek itu, ia menjana ekonomi lumayan masyarakat khususnya golongan nelayan di kawasan pesisir.
“Ia juga membantu meningkatkan sumber perikanan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di jeti Kampung Telaga Air, di sini.
Sebelum itu, Abang Johari menyaksikan program melabuhkan tukun tiruan ke-16,800 dan terakhir pada fasa pertama. Ia dilakukan di perairan berhampiran Pulau Satang.
Abang Johari berkata, projek tukun tiruan fasa pertama itu bermula 2018 membabitkan kos RM70 juta.
Fasa kedua katanya, akan dimulakan tahun depan dan beberapa kawasan sudah dikenal pasti.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Abdul Rahman Junaidi.
Sumber dari : Jiwa Bakti